Skip to main content

Hukum Penyusuan

Kredit kepada ">Dunia Susu Ibu....

Hukum Penyusuan (JAKIM, EoF)

Kredit kepada Ustazah Taqwa Zabidi dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Eats on Feets – Malaysia di Facebook, http://www.eatsonfeets.org/

———————————————————————————————————————–

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan oleh Puan Ayuni berkaitan hukum penyusuan dan bank susu, berikut disertakan maklumat-maklumat umum yang dikehendaki. Walau bagaimanapun, memandangkan isu ini sedang dalam kajian hukum, terdapat beberapa persoalan yang tidak dibincangkan dengan teliti terutamanya soalan-soalan berkaitan pengurusan bank susu. Semoga penjelasan di bawah dapat membantu puan dalam isu ini.

PENYUSUAN HAK BAYI


1. Para fuqaha menjelaskan penyusuan merupakan hak seorang bayi dengan pendapat mereka seperti berikut:
Maksudnya:
Penyusuan merupakan hak seorang bayi sepertimana nafkah menjadi sebahagian hak seseorang dewasa iaitu ibunya.

2. Perkara ini disandarkan kepada firman Allah SWT yang berbunyi:
Maksudnya:
“…dan kewajiban bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya…”
Surah al-Baqarah 2: 233

3. Seseorang bayi memerlukan makanan yang diperolehi daripada penyusuan. Maka menjadi kewajipan ke atas bapanya untuk memberikan nafkah makanan dan pakaian kepada si ibu. Ini kerana melaluinya, bayi akan mendapat sumber makanan secukupnya.

4. Dalam perbahasan syariah, penyusuan disebutkan sebagai salah satu isu penting yang melibatkan isu-isu syariah. Penyusuan ini turut dikenali sebagai al-rada’ah


AL-RADA’AH


5. Al-rada’ah merujuk kepada keadaan di mana sampainya susu seseorang wanita ke dalam rongga tekak seseorang bayi sama ada dengan menyusu terus daripada payudara seseorang wanita atau melalui apa-apa kaedah yang boleh menggantikannya dengan syarat-syarat tertentu ( Abdul Karim Zaidan, Al-MufaÎÎal fi ahkÉm al-mar’ah wa bait al-muslim fi syarÊah al-islamiyyah, cet. 3, jil. 9, (Beirut: Muassasah al-Risalah, 2000), m/s: 462.)




6. Definsi ini menjelaskan bahawa terdapat tiga perkara penting dalam konteks penyusuan iaitu:
a. Bayi;
b. Ibu yang menyusu; dan
c. Kaedah penyusuan.

7. Sepertimana yang disebutkan dalam subtopik pertama, seseorang bayi berhak mendapatkan susu. Tempoh sempurna seseorang bayi itu mendapatkan susu secukupnya ialah 2 tahun genap. Perkara ini disandarkan kepada firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua tahun genap,..” Surah al-Baqarah 2: 233
8. Manakala, seseorang wanita yang menyusukan bayi tersebut boleh terdiri daripada ibu kandungnya dalam ikatan perkahwinannya atau yang telah diceraikan atau wanita yang bukan ibu kandungnya.

9. Kaedah penyusuan pula merujuk kepada penyusuan terus daripada payudara wanita yang menyusukan atau apa-apa kaedah lain seperti susu yang diperah dan disimpan di dalam botol dan disusukan bayi tersebut melalui botol itu. Jika dilihat pada realiti hari ini expressed breast milk (EBM), menepati kaedah penyusuan yang disebutkan oleh para fuqaha.


10. Secara umumnya, telah jelas disebutkan, seseorang bayi perlu disusukan dan boleh disusukan oleh wanita yang bukan ibu kandungnya dalam keadaan yang memerlukan melalui kaedah penyusuan yang betul. Justeru, terdapat beberapa implikasi syariah dalam membincangkan isu ini.



HUKUM PERTALIAN DISEBABKAN PENYUSUAN



11. Isu-isu syariah utama yang sering dikaitkan dengan hukum penyusuan adalah seperti berikut:
a. Tanggungjawab memberi nafkah oleh seseorang bapa;
b. Tanggungjawab seseorang ibu menyusukan bayi;
c. Hubungan pertalian yang diharamkan berkahwin;
d. Penubuhan bank susu.

12. Walau bagaimanapun, skop perbincangan difokuskan kepada hubungan pertalian kekeluargaan kesan daripada hukum penyusuan. Hukum pertalian ini menatijahkan bayi tersebut tidak boleh berkahwin dengan ibu yang menyusuinya serta ahli keluarga tertentu daripada ibu tersebut. Pihak-pihak yang diharamkan berkahwin dengannya akan diterangkan pada perkara 18.


13. Untuk mencapai tahap pertalian kekeluargaan antara bayi dan wanita yang menyusukannya, terdapat beberapa syarat berdasarkan kepada tiga aspek berikut perlu dipenuhi:
a. Bayi;
b. Wanita yang menyusukan; dan
c. Kaedah penyusuan.

14. Syarat yang berkaitan dengan bayi adalah seperti berikut:
a. Umur bayi tidak melebihi dua tahun;
b. Tidak disyaratkan bayi tersebut beragama Islam memandangkan tiada nas yang melarang seseorang wanita Islam menyusukan bayi bukan Islam. Namun begitu, perlu ditekankan penyusuan tidak mengubah agama
seseorang. Syeikh Attiyyah Saqar menjelaskan bayi akan kekal dalam agamanya dan begitulah sebaliknya. ( Sheikh Attiyah Saqar, A Non Muslim Breastfeeding a Muslim Child, 20 Jun 2006. Diperolehi daripada
http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?cid=1119503549018&pagename=IslamOnline-English-
Ask_Scholar/FatwaE/FatwaEAskTheScholar. Dilayari pada 24 Januari 2011)

c. Tidak disyaratkan juga identiti ibu bapa bayi tersebut diketahui. Bagi bayi yang diketahui identiti ibu bapa mereka lebih mudah diuruskan. Ayat 233 daripada surah al-Baqarah telah menyebutkan, jika ibu kandung tidak mampu menyusukan bayinya, dia boleh mengupah orang lain untuk menyusukannya. Daripada umumnya lafaz yang digunakan dalam al-Quran, ia menunjukkan tiada halangan untuk menyusukan bayi yang diketahui identiti ibu bapa mereka walaupun mereka adalah anak-anak yang terbiar.

15. Syarat yang berkaitan dengan ibu yang menyusukan adalah seperti berikut:
a. Seorang wanita anak adam. Tidak terkesan hukum pertalian kekeluargaan sekiranya bukan dari kalangan anak adam, seseorang lelaki atau seseorang yang bukan wanita asli.
b. Wanita yang menyusukan itu masih hidup sewaktu bayi disusukan.
c. Wanita itu mempunyai susu sama ada hamil atau tidak, berkahwin atau tidak, atau telah menopaus atau belum.
d. Tidak disyaratkan agama tertentu bagi wanita yang menyusukan seseorang bayi. Memandangkan tiada dalil yang melarangnya, dibolehkan bagi wanita bukan Islam untuk menyusukan bayi beragama Islam. Ia merupakansebahagian daripada sifat ihsan. Perkara ini disebutkan oleh Syaikh M.S. Al-Munajjid ketika beliau menjawab soal jawab kemusykilan agama berkaitan isu ini. (Muhammad Saleh al-Munajjid, Can A Muslim Women Breastfeed A Christian Child?, 22 Mac 2004. Diperolehi daripada http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?cid=1119503548106&pagename=IslamOnline-English-
Ask_Scholar%2FFatwaE%2FFatwaEAskTheScholar. Dilayari pada 25 Januari 2011.)

e. Walau bagaimanapun, makruh memberikan seseorang wanita bukan Islam menyusukan bayi beragama Islam. ( ‘UÎÉm al-‘Abd Zuhd dan Jamal al-Hubi, Kertas kerja Athar al-raÌÉ‘ah ‘ala ‘alaqÉt al-usariyyah, dibentangkan dalam Muktamar al-Syariah; al-tasyri‘ al-islamiy wa mutaÏalibÉt al-waqi‘ pada 13 -14 Mac 2006). Ini kerana susu itu tidak selamat daripada makanan atau minuman haram yang sebati dalam makanan dan minuman wanita tersebut. Justeru, ditakuti bayi akan mewarisi sifat buruk kesan daripada pemakanan tersebut. Perkara ini dikiaskan kepada hukum makruh mengupah wanita yang tamak untuk menyusukan seseorang bayi yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam kitab sunannya.

16. Syarat yang berkaitan dengan susu adalah seperti berikut:

a. Susu kekal dalam sifatnya yang asal sama ada mengalir atau sebagainya kerana dengannya akan memastikan tumbesaran tubuh dan penguatan tulang.
b. Sampai susu ke sistem penghadamannya melalui tekak atau saluran hidung.
c. Penyusuan mencecah lima kali kekenyangan bayi. Setiap kali kekenyangan dikenal pasti melalui perbuatan bayi itu sendiri yang meninggalkan susuan secara sukarela dan mengambil tempoh yang lama sebelum menyusu untuk kali yang seterusnya. Sekiranya bayi berhenti menyusu disebabkan oleh gangguan di sekelilingnya, ia tidak dikira sebagai susuan yang mengenyangkan. Susuan yang mengenyangkan tetap dikira sekiranya bayi meninggalkan susuan untuk sementara waktu seperti ingin mengambil nafas, bertukar posisi daripada payudara kanan ke kiri, bersin dan sebagainya.


17. Apabila semua syarat ini dipenuhi, maka terhasillah hubungan pertalian antara bayi dan wanita yang menyusukannya. Perkara ini disandarkan kepada kaedah fiqh:
Maksudnya: Diharamkan (perkhawinan) disebabkan oleh penyusuan (sepertimana) apa yang diharamkan disebabkan oleh keturunan.

18. Terdapat banyak hadis yang menunjukkan susur galur keluarga yang diharamkan berkahwin disebabkan oleh penyusuan. Berikut merupakan kesimpulan pihak yang diharamkan berkahwin dengannya disebabkan oleh penyusuan (Abdul Karim Zaidan, jil. 6, m/s: 237-238) :
a. Wanita yang menyusukannya;
b. Anak-anak wanita yang menyusukannya sama ada anak-anak kandungnya atau anak-anak suaminya yang terdahulu;
c. Cucu-cucu wanita yang menyusukannya sama ada daripada anak-anak lelaki atau anak-anak perempuannya;
d. Bayi-bayi sesusuan. Sekiranya ibu menyusukan lebih daripada seorang bayi, bayi-bayi tersebut menjadi saudara susuan antara mereka dan maka mereka tidak boleh berkahwin.
e. Ibu kepada wanita yang menyusukan;
f. Nenek kepada wanita yang menyusukan dan ke atas;
g. Adik-beradik wanita yang menyusukannya. Anak-anak kepada adik-beradik wanita tersebut tidak diharamkan berkahwin dengannya; dan
h. Wanita yang menyusukan diharamkan berkahwin dengan anak kepada bayi yang disusukan dan ke bawah.



HUKUM MENUBUHKAN/MENGURUSKAN BANK SUSU



19. Sehingga kini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia belum membuat sebarang keputusan berhubung hukum menubuhkan bank susu.

20. Oleh yang demikian, sebarang penjelasan berhubung penubuhan ini tidak dapat dibincangkan secara teliti. Walau bagaimanapun, sebarang usaha yang tidak bertentangan dengan syariah oleh mana-mana pihak demi menjaga prinsip-prinsip syariah sudah tentu mendatangkan kebaikan dalam Islam.

Comments

Popular posts from this blog

DADAH DALAM REDBULL DAN LIVITA

Kumpulan dadah perangsang merupakan kumpulan dadah yang bertindak ke atas sistem otak untuk menghasilkan kesan ransangan seperti peningkatan tumpuan terhadap aktiviti kerja dan menghilangkan rasa lesu badan. Terdapat beberapa jenis dadah yang dikategorikan sebagai perangsang dan sering disalahguna bagi mendapatkan kesan ransangan. Sebaliknya kesan buruk yang dihasilkan akibat penggunaan dadah tersebut langsung tidak dihiraukan. Di antara kesan buruk yang diketahui terhasil daripada penggunaan dadah perangsang ialah ketagihan dadah, tidak waras, gila, dan perubahan emosi seperti panas baran, tidak berupaya tidur, serta rasa murung. Selain itu penggunaan yang berlebihan boleh mengakibatkan keracunan dan kematian. JENIS DADAH PERANGSANG Di antara jenis dadah perangsang termasuklah dadah perangsang ringan (DPR) iaitu nikotin yang terdapat dalam rokok, kafeina yang terdapat dalam kopi, teh, dan minuman bercoklat. Minuman ringan penghilang letih seperti jenama LIVITA dan RED BUL

TIPS MEMBELI PRODUK SHAKLEE PADA HARGA AHLI

Sekiranya anda berada berdekatan dengan mana-mana cawangan Shaklee yang sah, dan berhajat mahu membeli sendiri produk Shaklee serta mendapat harga ahli, bolehlah ikuti tips di bawah. PERTAMA Anda perlu mendaftar menjadi ahli terlebih dahulu dengan menggunakan Id saya sebagai sponsor. Sebelum melangkah masuk ke mana-mana cawangan Shaklee, pastikan anda mempunyai maklumat ini. * Shaklee ID : 852667 * Nama : Norfarhana Binti Khairi * Contact No. : 017-7018763 ** Anda juga boleh menghubungi saya terlebih dahulu untuk konsultasi percuma, cadangan suplemen mahupun untuk mengetahuI harga produk untuk membuat budget. KEDUA Pergi ke mana-mana cawangan Shaklee yang sah (seperti berikut) dan ber'shopping' lah! Shaklee HQ : JA-3A-02, Empire Tower, Empire Subang, Jalan SS16/1, 47500 Subang Jaya, Selangor. No Tel: 03-5622 3188 KL Branch : 31 Jalan 2A/27A, Section 1, Wangsa Maju, Setapak, Kuala Lumpur.. No tel 03-41426442 Penang Branch : A-2 Jalan Todak, Pusat Bandaraya, Seberang Jaya , P

TEKNIK MARMET

Selain menggunakan pam untuk mengumpul susu perahan kita boleh melakukannya secara manual. Tidak memerlukan kos,gune tangan pun boleh dijadikan sebagai alat untuk memerah payu dara kita. Teknik ini dikenali sebagai MARMET.. Ia sungguh mudah kerana teknik ini merupakan kaedah yang banyak membantu kita mengumpul lebih banyak susu ibu berbanding menggunakan pam.. Selain itu, sentuhan kulit ke kulit (tangan ke payudara) lebih efektif dalam merangsang payu dara untuk mengalirkan susu dengan lebih lancar jika dibandingkan dengan breast shield yang dihasilkan daripada plastik.. Dengan menggunakan teknik ini juga, kita dapat mengurangkan kerosakan tisu payu dara,payu dara lebam mahupun kulit di sekitar melecet akibat penggunaan pam yang berlebihan.. Sebelum melakukan teknik Marmet untuk memerah payudara, kita seharusnya melakukan urutan terlebih dahulu. Dengan itu, proses pemerahan pasti akan berjalan lancar.. MENGURUT Cuci tangan ; pastikan ia bersih..tekap payudara dengan tuala